Monday, April 25, 2016

Cerita Mini di Padang Arab


Pada suatu petang yang macam biasa, Saripudin bermain bolasepak dengan rakan-rakannya selepas balik sekolah agama belah petang. Dah nama pun main bolasepak, sudah tentulah bermain pada sebelah petang. Saripudin, Acap, Deraman, Jalil Mat Dom dan lain-lain memang selalu bermain di padang yang dipanggil Padang Arab. Mungkin kerana rupa padangnya yang tandus menyamai keadaan di negara Arab. Walaupun tandus rumputnya, itu tidak mematahkan semangat mereka semua bermain dengan semangat kesukanan dan penuh keikhlasan dalam bermain.

Masuk tahun baharu, datang seorang budak baharu yang baru berpindah ke kejiranan tersebut. Budak bernama Ismail ni adalah anak orang kaya. Rumah banglo di hujung simpang itu telah diubahsuai oleh kedua ibu bapanya dengan begitu cepat tanpa mengabaikan aspek keindahan dalam rekabentuknya. Ismail dengan tidak semena-mena telah datang ke Padang Arab bersama sepatu bolasepak berjenama Nike Tiempo II, berjersi Adidas original dan rambut dengan ber'pomade' disisir rapi. Tujuannya untuk berkenalan dengan Saripudin, Acap, Deraman, Jalil Mat Dom dan lain-lain serta ingin menyertai mereka bermain bolasepak.

Namun begitu, Ismail bukanlah seorang yang handal bermain bolasepak walaupun lengkap memakai pakaian berjenama mewah bersama sepatu bola mahal. Walaupun tidak handal bermain bolasepak, Ismail kerapkali bersembang kencang bahawa dia mampu lakukan perubahan terhadap bolasepak di dalam kejiranan tersebut. Ismail tidak berbohong. Sememangnya, Ismail telah mengotakan janjinya dengan beberapa perubahan di Padang Arab.

Bapanya sendiri telah membiayai bagi menukarkan padang tandus itu kepada padang berumput daripada jenis Bermuda Grass beserta dua set tiang gol aluminium. Manakala, rakan-rakannya mendapat sepatu bersama jersi Adidas original setiap seorang. Bukan itu sahaja, setiap rakannya juga telah dihadiahkan sebuah basikal daripada jenama Mountain Bike bagi memudahkan urusan mereka ulang-alik ke padang.

Biarpun begitu, perkara ini tidak digemari Saripudin. Saripudin bukanlah tidak suka kepada perubahan. Tetapi, Saripudin berasa jengkel melihat gelagat Ismail yang selalu mengemaskini laman sosial di Facebook mahupun Instagram dengan menayangkan perubahan-perubahan yang telah dilakukannya. Sambil update, Ismail kadangkala akan berselfie atau menyuruh Leman, si budak suruhan yang menjadi jurukamera tetap bagi Ismail mengambilkan gambarnya. 

Perubahan yang dilaung-laungkan Ismail mendapat reaksi positif daripada rakan-rakan Saripudin yang lain. Apa tidaknya, dengan adanya Ismail, hidup mereka jadi senang. Ada basikal, jersi baru, sepatu baru dan macam-macam lagi kesenangan yang mereka dapat. Saripudin faham bahawa mereka semua jadi seronok kerana hidup mereka senang. Tetapi, bagi Saripudin, ia menjadikan rakan-rakannya lemah minda dan bersifat materialistik. Walaupun mereka selalu menang dalam beberapa pertandingan sejak akhir-akhir ini, ia ternyata tidak memberikan kepuasan buat Saripudin sehingga dia mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan yang telah Ismail bentuk.

Saripudin berpendapat, bolasepak tidak boleh digunakan untuk mengecap kekayaan segera atau dijadikan platform buat individu yang tidak ada 'jiwa' dalam bolasepak semata-mata hanya kerana mahu mengejar populariti. Perubahan memang perlu tetapi perlu ada teras dan tidak boleh mengorbankan falsafah di dalam seni bolasepak itu sendiri. Saripudin mahu melihat apakah pasukan yang dibentuk dengan limpahan wang ringgit dan material ini mampu bertahan dalam 10 tahun mendatang.


No comments:

 
Google Analytics Alternative