Tuesday, May 13, 2014

Ceritera Sebuah Lorong


Semasa aku berpindah ke Cheras sekitar 20 tahun lepas, tiada padang dibekalkan kepada taman perumahan kami. Pemaju sebenarnya mengingkari janji untuk menyediakan padang bagi kemudahan sukan dan rekreasi penduduk.

Bila aku mula mengenali beberapa rakan di taman itu, aku kadangkala bermain basikal dan permainan tradisional seperti gasing, karom dan lain-lain. Jadi, tiba satu masa, aku dan rakan-rakan lain mula bosan dengan permainan yang sama setiap hari. Aku pun mencadangkan supaya permainan bolasepak dimainkan di lorong sebelah rumah aku. Lorong ni lebarnya dalam 5 meter dan memanjang hampir 15 meter. Cadangan disambut baik dan kami mula tong-tong untuk beli bola yang berharga dalam RM20 ketika itu.

Setelah bola dan kasut ada, kami pun memulakan aktiviti bermain bolasepak di lorong tersebut. Dan ianya sungguh mengujakan. Pada awalnya, hanya beberapa budak sahaja yang bermain dan setelah beberapa ketika, ia mula dipenuhi dengan budak-budak daripada lorong lain dan adakalanya daripada taman lain sekali.

Menarik mengenai lorong ini adalah ia telah menjadi satu simbol perpaduan kami budak-budak yang tiada kemudahan padang untuk bermain bolasepak. Dan hanya di  lorong inilah kami dapat mengasah bakat, menunjukkan skil, bertemu kawan dan mengabadikan passion kami kepada bolasepak. Setiap kali jam 5 petang, aku tidak sabar-sabar untuk memakai baju bola dan turun ke lorong yang terletaknya hanya di sebelah saja rumah aku. Kadang-kadang, kami set game dengan budak lorong lain dan pasukan dibahagikan mengikut lorong. Dapatlah lebih kurang 12 hingga 16 orang bermain bolasepak di lorong ini. Tiang golnya pula adalah chamber longkang di kiri dan kanan hujung jalan tersebut.

Di lorong inilah juga aku mendapat parut di tangan kanan aku dek terkena besi pagar rumah. Di lorong inilah juga kadang-kadang bola meletup akibat dilenyek kenderaan yang menggunakan jalan besar apabila terlepas ke situ. Di lorong inilah, aku bergaduh dengan budak lorong lain disebabkan permainan kasar yang ditampilkan. Di lorong inilah, jiran-jiran pernah marah apabila bola terkena tingkap rumah mereka. Di lorong inilah juga, kami pernah protes senyap apabila jiran menghentikan permainan bolasepak kami. Walhal, jiran tersebut baru berpindah ke situ sedangkan kami sudah mula bermain hampir 4 tahun lamanya. Dan pastinya, di lorong inilah juga kaki dan lutut akan luka jika terjatuh di atas jalan tar.

Setelah hampir 12 tahun lamanya kami bermain di sini, barulah pihak pemaju menyediakan padang untuk bersukan di mana tapak asalnya adalah semak-samun. Namun, agak terlambat bagi aku untuk merasai padang tersebut agak lama kerana aku mendapat tawaran masuk ke sekolah asrama bagi Tingkatan 4.

Aku tidak akan melupakan jasa lorong ini yang telah membuatkan aku jatuh cinta dengan bolasepak, mengajar aku tentang permainan bolasepak, mengasah bakat dan skil, mengenal erti kawan dan lawan, memerhati sikap dan ragam orang, dicaci jiran yang tidak faham mengenai betapa pentingnya sebuah padang kepada kami atau sekurang-kurangnya memahami betapa pentingnya aktiviti sukan luar di kala usia begini. Mungkin ibubapa sekarang pastinya lebih suka anak mereka berada di dalam rumah daripada membiarkan anak mereka cedera, bercampur gaul dengan orang tidak betul, bimbang diculik dan macam-macam lagilah. Nah, beri mereka Iphone dan sumbatkan mereka dengan wayang cerita orang putih. Itu lebih bertamadun.

Kini, lorong tersebut sudah menjadi sejarah dan hanya menyaksikan ia digunakan bagi menempatkan kereta-kereta yang menjadi kegemaran orang Melayu untuk memiliki lebih daripada sebuah kereta. Dahulu mungkin satu keluarga satu kereta. Namun kini, susah jika tiada dua kereta. Hasilnya, lorong inilah yang akan menjadi tempat mereka meletakkan kenderaan mereka. Apapun, lorong inilah yang mengajar aku tentang 'KEHIDUPAN'.


Inilah lorong yang pernah menjadi tempat aku jatuh dahulu

No comments:

 
Google Analytics Alternative