Tuesday, August 27, 2013

Keadilan Untuk Proton





Kadang-kadang saya rasa kesian dengan Proton. Mereka telah berusia lebih 20 tahun dan dalam tempoh itu, ia tidak terlepas daripada mendapat caci maki orang yang pastinya datang dari rakyat Malaysia sendiri. Saya sendiri mengaku bahawa saya juga seringkali terikut-ikut dengan arus 'mencaci Proton' ini. Dipanggil tin milo, gearbox tak boleh pakai, power window selalu rosak, lantai tempat kaki bocor dan macam-macam komen yang pukul rata semua produk Proton.

Namun, saya sedar sampai bila kita akan terus-terusan mencaci dan menghina Proton selaku satu-satunya pengeluar tunggal kereta nasional di dalam negara. Segelintir rakyat Malaysia terus bersifat menghukum dan bias setiap kali Proton mengeluarkan produk baru. Sebagai contoh, baru-baru ini, Proton mengeluarkan model baru yang diberi nama Suprima S. Terus bersepah komen di Facebook, "Proton keluar tin milo", "harga mahal tapi kualiti hampeh!", "tak berbaloi pakai Proton" dan sebagainya.

Ini saya kira tidak adil dan komen-komen ini semuanya bercirikan judgemental dan prejudis. Mereka pukul rata semua produk Proton yang baharu walhal mereka belum lagi melihat dari dekat dan mencubanya sendiri. Mereka bercakap dan menulis mengenai sesuatu yang mereka sendiri belum rasa dan alaminya sendiri. Sama seperti mereka yang mengutuk setiap kali filem Metrowealth dikeluarkan tanpa mereka melihat terlebih dahulu isinya. Golongan yang mengikut-ngikut ini amat bahaya kerana ia boleh mendatangkan fitnah yang boleh merosakkan perniagaan orang.

Saya tidak kisah jika mereka mengkritik benda yang mereka sudah alami dan cuba. Tetapi jangan terus bersifat menghukum. Saya bukan mahu mempertahankan Proton. Mereka sudah berusia 20 tahun lebih dan sewajarnya memang mereka mampu menghasilkan kereta yang hebat dan paling penting berbaloi serta murah kepada rakyat Malaysia. Sayangnya, mereka bukanlah peletak harga. Harga Proton dikawal oleh kerajaan dengan pengenaan cukai yang dilihat tidak rasional bagi sebuah kereta yang dihasilkan di dalam negara. Bukan salah Proton sebaliknya kita tanyakan pada kerajaan yang kita pilih baru-baru ini. (Pui)

Pasti ramai tidak tahu mengenai kesukaran Proton dalam memperolehi tunjuk ajar dan pertukaran teknologi daripada abang mereka, Mitsubishi. Orang Jepun seperti diketahui agak tertutup dalam berkongsi maklumat dan idea teknologi mereka. Susah untuk orang kita yakni Proton dalam mendapatkan tunjuk ajar bagi menghasilkan kereta sendiri. Sekarang ni sahaja, baru Proton perlahan-lahan belajar membuat kereta sendiri dengan kepakaran anak tempatan. Sebab itu, banyak cacat celanya sejak bermulanya pengeluaran Proton Waja dahulu kerana sebahagian besarnya dihasilkan anak tempatan yang dinafikan peluang dan hak untuk menuntut ilmu dari gergasi Asia, Mitsubishi satu ketika dahulu. Jadi, berilah Proton peluang. Mengkritik boleh tetapi janganlah sampai menjatuhkan sehinggakan produk baru pun terus dikecam. Itu bukan kritikan namanya.

Sekian, kalau beli Suprima S, jangan lupa jemput saya naik.

No comments:

 
Google Analytics Alternative