Sunday, April 28, 2013

Jurnal Kembara 12 : Tanah Besar China


Tanggal 8 haribulan 2013 lalu, aku sekali lagi mendapat peluang dan nikmat Allah untuk terbang ke bumi China. Benarlah kata pujangga, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Dan memang aku mencari ilmu di sana buat memantapkan diri dengan ilmu dunia yang bersifat sementara. Kembara aku bermula daripada KLIA seawal jam 7 pagi Isnin tersebut.

Disebabkan aku terlewat setengah jam dari waktu dijanjikan, kontraktor yang menjadi tour guide aku bising-bising. Dia cakap penerbangan antarabangsa tak boleh main-main. Ala, flight berlepas pukul 9 pagi. Aku sampai situ pukul 7.30 pagi je pun. Lagipun bukan salah aku. Haha. Dipendekkan cerita, aku dan dia sampai di Shanghai Pudong International Airport sekitar jam 3 petang. Yang menariknya, waktu tempatan di sini sama dengan waktu Malaysia. Jadi, tak perlulah nak setting jam ke apa ke.


Lapangan Terbang Shanghai


Isnin (8 April 2013)

Sebaik sampai di Pudong, kami disambut oleh kawan kontraktor tu dan dibawa ke pejabat mereka di Shanghai Industrial Park untuk menikmati teh daripada Taiwan. Dengan yakin, aku pun turut sama minum teh tersebut yang memang dibuat asli daripada daun teh tanpa sebarang perisa tambahan. Teh cina ni memang tawar habis sebab depa tak suka bubuh gula. Kemudiannya, kami bertolak ke hotel penginapan di Salvo Hotel di GuangDong Road. Bilik yang diperuntukkan memang besar dan selesa. Cuma arah kiblat saja yang takde. Dengan menggunakan keupayaan telefon pintar pasti tiada masalah mencari arah kiblat.


Hotel Salvo tempat penginapan kami


Malam tersebut, kami menuju ke Nanjing Road untuk makan di restoran halal. Restoran ini menyajikan makanan cara steamboat dan lebih menarik lagi, mereka juga menghidangkan arak walaupun tertera logo halal. Menarik ke? Mengucap panjang pembaca semua. Seperkara lagi, mereka makan menggunakan chopstick dan jarang menggunakan sudu. Jadi, pesanan aku jika korang berkunjung ke China, pastikan belajar cara makan menggunakan chopstick. 

Dah habis makan, kami berjalan di sekitar Nanjing Road di mana ia kelihatan seperti laluan pejalan kaki yang kiri kanannya dipenuhi kedai-kedai jual barang dan pakaian. Nak kata macam Petaling Street tak jugak sebab kedai di sini lebih standard daripada Jalan Petaling tu. Seterusnya, kami singgah di The Bund di mana kata orang, jika tidak ke sini, maka tidak lengkaplah perjalanan anda ke Shanghai. Di sini, pemandangannya sungguh indah dan kita dapat melihat bangunan-bangunan tinggi di bahagian New Shanghai dari tepi sungai. Ditambah pula dengan feri-feri yang berhias lampu limpah, maka boleh aku katakan bahawa warga Shanghai memang meminati pencahayaan.















Selasa (9 April 2013)

Kami bertolak ke Seabord Factory di daerah Minhang yang menempatkan kilang pam yang akan aku dan kontraktor buat ujian. Perjalanan ke sana memakan masa selama sejam dengan menaiki van disediakan pihak kilang. Sepanjang perjalanan, aku dapat lihat banyak kereta mewah jenama Volkwagen, Buick dan Mercedes meluncur di jalanraya. Di Malaysia, kita ada banyak Proton.




Kawasan ladang bunga dekat kilang pam


Ujian pam dimulakan sekitar jam 10 pagi. Disebabkan setting untuk meletakkan pam mengambil masa lebih kurang 2 jam, kami pun makan tengahari di sekitar Minhang sebelum memulakan sesi ujian berikutnya. Dan, seperti biasa, kami makan tengahari di restoran halal yang masih menghidangkan arak dan steamboat style. Aku cuma makan daging kambing jela sebab ayam dah kena larang dekat sini. Ada H7N9.


Nasi dengan daging

Setelah selesai tiga ujian pam sekitar jam 5 petang, kami sempat singgah di Plaza IT sebelum berhenti di hotel. Aku bergegas mencari tab yang dikirim oleh bos mekanikal aku. Bajet yang ada cuma sekitar RM300. Dan aku bernasib baik mempunyai kontraktor cina yang tahu berbahasa Mandarin bagi melakukan tawar menawar. Akhirnya, aku beli tab jenama Ainol Lovo dengan harga 650 RMB iaitu lebih kurang RM320 duit Malaysia. Bagi menyelesaikan masalah wifi di bilik hotel, aku telah membeli sebuah router untuk disambungkan ke kabel LAN dengan harga 130 RMB.


Ainol Tab

Sampai di hotel, aku terus mencuba router tersebut namun hampa kerana aku masih tidak boleh connect internet. Adakah aku salah beli barang atau tidak tahu guna? Aku cuba dapatkan jawapannya esok kerana rakan-rakan lain pun beli jugak.

Rabu (10 April 2013)

Hari ni, kami menyambung lagi sesi ujian pam di tempat yang sama di Minhang. Disebabkan setting untuk meletakkan pam mengambil masa yang agak lama, setelah setiap kali selesai 1 ujian pam, kami lepak di bilik yang ada wifi. Jadi, masing-masing akan sibuk dengan telefon pintar masing-masing bagi mendapatkan berita dari Malaysia (contohnya mengetahui tarikh mengundi 5 Mei itu), menggunakan Whatsapp atau Wechat. Sayangnya, Facebook dan Twitter tidak boleh diakses di China kerana sekatan daripada kerajaan komunis mereka. Bagi makan tengahari, aku sempat menyantap beef noddle yang boleh tahan rasa dia.


Pembuatan beef noddle

Dan menjelang pukul 5 petang, kami pun bergerak pulang. Sekali lagi, kami singgah di Nanjing Road untuk mencari sedikit cenderahati. Tidak banyak yang boleh dibeli di sini melainkan baju murah, aksesori berkualiti rendah dan barangan dapur. Tetapi keindahan di sini cukup membuatkan mata aku terpesona. Sekembalinya ke hotel, aku berjaya mendapatkan akses internet melalui router yang aku beli semalam setelah rakan aku memaklumkan bahawa aku perlu membuka portal internet explorer dan login di situ sebelum melayari internet. Syukur.

Khamis (11 April 2013)

Memandangkan hari ni adalah hari terakhir sesi ujian pam (amboi, macam sesi ujian masa F1 pulak rasa), kami mengambil keputusan untuk membeli belah di Chipulu Market dahulu sebelum ke Minhang di sebelah petang. Chipulu Market ni terkenal dengan barangan berjenama tetapi murah. Dari segi keasliannya, harap tuan-tuan maklumlah ye. Dan sekali lagi di sini, tugas aku adalah mencari beg tangan, jam tangan serta dompet yang dikirim dari sahabat di tanah air.

Chipulu Market

Sesampainya di situ, kami telah didatangi penjual atau orang panggil 'ulat' yang akan mengetuai misi kami mencari beberapa barangan yang aku sebutkan tadi. Syukur aku berjaya dapatkan barangan-barangan tersebut. Namun, ada satu ketika, aku dan rakan kontraktor dibawa masuk ke bahagian tangga yang gelap gelita semata-mata untuk mencari jam tangan. Dengan harga hampir 1000 RMB, aku batalkan hasrat. Sudahlah tempat gelap gelita, takut pula kalau-kalau kami diapa-apakan. Nasib baik tiada sesuatu yang buruk berlaku.

Di sini sebenarnya, jika kita tidak boleh berbahasa Mandarin dan tidak ditemani dengan orang yang biasa keadaan di sini, pastinya anda amat sukar untuk memperolehi barang yang anda inginkan pada harga murah. Ditambah pula dengan peniaga yang akan mengekori anda ke mana sahaja bertanyakan tentang harga yang kita inginkan, ia sesuatu yang merimaskan. Jadi, sila bawa orang yang biasa dengan keadaan di sini jika tidak mahu ditipu. Oh ya, aku juga sempat membeli magnet peti sejuk dalam kuantiti yang banyak untuk bekalan orang di pejabat. Sayangnya, aku masih tidak jumpa kedai yang menjual kain kapas ela. Orang kata kalau nak cari kain, bukan di Shanghai sebaliknya, perlu ke Guangzhou. Mungkin juga sebab tidak banyak kedai yang aku pergi  ada menjual kain belum siap ni




Setelah selesai makan beef noddle (sekali lagi), kami bertolak ke Minhang bagi menghabiskan sesi ujiam pam kami. Lebih kurang pukul 5.30 petang, selesailah kesemua pengujian pam yang perlu dibuat dan alhamdulillah, kesemuanya sempurna dan tiada masalah. Sebagai kenangan, kami mengambil gambar kenang-kenangan di kilang bersama wakil pihak kilang.

Sebelum balik ke hotel, kami singgah di Tesco area mana pun aku kurang pasti bagi mencari makanan halal. Sayangnya, tiada restoran muslim di situ dan alang-alang sudah sampai di situ, ada sebuah kedai sukan Li-Ning menjadi sasaran beli belah kami. Li-Ning adalah sebuah jenama pakaian dan barangan sukan yang popular di China dan Lin Dan adalah salah satu atlit yang menggunakan barangan ini. Aku sempat sambar sehelai baju sukan dengan harga 39 RMB (RM20). Berbaloilah beli dengan kualiti yang bagus begitu.

Jumaat (12 April 2013)

Program pada hari terakhir dimulakan dengan lawatan ke loji pembersihan air di Shaoxing yang mengambil masa 3 jam perjalanan mengikut jalan darat. Di sini, aku dapat melihat beberapa teknologi yang canggih digunakan dalam merawat air. Sayangnya, terdapat beberapa teknologi ini yang dikekang dan dihalang penggunaannya di Malaysia atas sebab yang aku sendiri tidak tahu. Barangkali tidak memberikan keuntungan kepada kroni tertentu agaknya.





Selesai melawat loji itu, kami ke Luxing Native Place. Di sini, banyak barangan tradisional dan cenderahati bercirikan China boleh didapati. Disebabkan terdapat teko mini yang cantik, aku habiskan 60RMB untuk beli teko tersebut sebagai hiasan di rumah. Rakan aku pula beli satu set teko yang mahal tu. Nak buat apa entah aku pun tak tahu.





Malam tersebut, kami ke Old Shanghai bagi menikmati pemandangan Shanghai berciri tradisional. Seperti aku katakan sebelum ini, banyak lampu berkelipan di sana sini. Mereka sesungguhnya memang peminat cahaya. Banyak juga borong barangan cenderahati di sini memandangkan hari ni adalah hari terakhir. Kebab lembu turki menjadi hidangan aku bersama seorang rakan muslim aku. Sedapnya tak terkata. Alhamdulillah.









Sabtu (13 April 2013)

Hari ni kami akan menamatkan perjalanan dan kembara kami di bumi China yang sungguh indah di musim bunga ini. Sekali lagi, kami mengambil kesempatan berjalan-jalan di Nanjing Road. Disebabkan ada set potong sayuran yang menarik dan murah, aku sambar satu untuk Umi.

Pada pukul 11.30 pagi, kami mula keluar dari hotel dan bergerak ke stesen Maglev dengan menaiki teksi. Maglev adalah singkatan kepada Magnetized Levitation iaitu keretapi laju yang menggunakan medan magnet bagi mengapungkan keretapi supaya dapat digerakkan dengan laju. Kelajuan yang dicatatkan mencecah 300 km/h. Jadi, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hampir sejam ke Shanghai International Airport telah menjadi hanya 7 minit! Ini sesuatu yang patut aku perkenalkan di Malaysia supaya anak beranak aku akan untung 7 keturunan hasil daripada projek ini. LOL.




Maka, selesailah pengembaraan aku di tanah besar China setelah kaki menjejak KLIA pada pukul 10 malam tersebut. Aku harap ia bukan noktah untuk aku terus mencari ilmu dan melihat keindahan negara orang bak kata pepatah ' Jauh berjalan, luas pandangan'.

No comments:

 
Google Analytics Alternative