Thursday, December 18, 2008

Kesibukan Itu Seronok



Entah apa yang aku rasa sekarang ini. Aku terasa bagai 'kehilangan'. Tapi aku tidak tahu apa yang aku hilangkan itu. Semuanya bercampur-baur. Aku harus akui cuti semester aku begitu kosong. Terasa kosong amat. Tidak terisi dengan sesuatu yang aku suka ataupun sesuatu yang berfaedah.

Tempoh selama hampir sebulan lebih ini bagai tidak bermakna apa-apa. Hanya ber'kiblat'kan komputer ataupun Playstation 2 saja. Jika tiada 2 benda ini selama cuti ini, aku tidak tahu apa yang akan terjadi pada aku. Mungkin aku sudah berada di Hospital Bahagia.

Aku lebih rela habiskan masa dengan menghadiri kuliah. Membonceng ke kampus setiap hari. Jika hari hujan, maka basahlah aku dan rakanku. Jika hari terik, maka merungutlah kami kepanasan. Jika hari baik , maka bernyanyilah aku di atas motor. Tambah-tambah lagi sewaktu perjalanan pulang. Entah kenapa. Bagai terasa gembira setelah segala beban hari itu terlepas.



Eh, kawan aku kata, aku nyanyi buatkan dia bersemangat bila bawa motor. Mana tidaknya, suara aku dekat sahaja dengan corong telinganya. Mungkin sebab itulah orang cipta radio dalam kereta. Maka, untuk motor, inilah sahaja 'radio' yang ada. Lalu, aku merasakan menunggang motor itu sesuatu yang sungguh menarik dan indah. Yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang bergelar penunggang dan pembonceng.

Aku rindu suasana di kampus. Melihat gelagat rakan dan orang lain. Ada yang fokus. Ada yang bersembang sementelah pensyarah bersyarah di depan. Aku perhatikan saja. Kadangkala aku juga lari fokus dek asyik memerhati orang. Bukan kadangkala, aku rasa selalu. Tatkala musim peperiksaan akhir hampir menjelang, barulah gila-gila belajar. Itulah indahnya bergelar pelajar. Tengok wayang pun diskaun kan?

Walaupun seharian di kampus memang penat tetapi bagi aku itulah keseronokannya. Walaupun kadangkala aku merungut dan tertekan akibat banyak tugasan dan kerja yang perlu disiapkan, aku bersyukur. Aku bersyukur kerana aku sibuk. Sekurang-kurangnya kesibukan itulah yang membahagiakan kita. Melengkapi kita. Biarpun waktu itu, aku mengeluh dan menyumpah-nyumpah, tapi di kemudian hari aku harus akui itulah yang membuatkan kita menjadi manusia.

Jika tidak, aku hanya akan begini.
Kebosanan begini.
Menulis di blog saat ini.
Meluahkan apa yang terbuku.

"Hargailah apa yang ada"

Jadi, biarlah aku hargai baki cuti yang cuma tinggal 2 minggu saja lagi ini. Mengisinya dengan cara sendiri sebelum aku dibalut kesibukan di kampus semula.

Biarkan aku lena tidur sehingga jam 12 tengah hari nanti ya.

..................

No comments:

 
Google Analytics Alternative